Posted by: pastibestari | 03/09/2009

Hampir Mustahil BN Rampas Kuasa di Selangor

Agak mustahil untuk Barisan Nasional merampas lapan kerusi, sebagai langkah menjatuhkan kerajaan PR buat setakat ini. Namun, seandainya BN cuba menyempurnakan rancangan rampasan kuasa dengan dakwaan rasuah terhadap ADUN tertentu, ia mungkin memerlukan lebih masa.  Kemungkinan untuk BN menggulingkan kerajaan PR Selangor pada September tahun ini, hampir mencecah sifar.

Dr. Hasan Mohd Ali adalah Exco paling kontroversi. Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor ini  tersenarai dalam golongan “berisiko tinggi”. Namun,  Teresa Kok berpendapat ia tidak mungkin terjadi melainkan beliau dapat membawa lapan orang melompat bersamanya. Kalau tidak, untuk apa beliau melompat tetapi menjadi pembangkang.

Selepas tsunami politik 8 Mac, Hasan Ali pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar oleh Khir Toyo (bekas MB) sebagai langkah untuk memastikan UMNO terus berkuasa di negeri Selangor. Beliau walau bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan PAS pusat, untuk bersama dengan PR. Justeru itu, gerak-geri Hasan Ali kebelakangan ini dibaca sebagai desakan untuk menuntut lebih sumber daripada kerajaan PR.

Malah, sumber maklumat yang rapat dengan PAS tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Hasan Ali untuk mencetus pertikaian seperti penjualan arak hanyalah “ugutan” semata-mata. Bagaimanapun, Teresa Kok tetap menolak kemungkinan rakan sekerjanya untuk melompat parti, berasaskan kenyataan bahawa PAS tidak mungkin menarik diri dari kerajaan negeri PR, kecuali Hasan Ali melompat secara individu. Maka, pemimpin DAP ini melihat desas-desus rampasan kuasa, lompat parti cuma “perang psikologi” untuk menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kerajaan PR Selangor.

Khabar angin sebelum ini meramalkan formula lompat parti 3-2-3 akan berlaku, iaitu tiga dari PAS, dua dari DAP dan tiga dari PKR, namun muktahir ini hanya lima orang ADUN yang berkemungkinan melompat parti, iaitu dua dari PKR dan tiga dari PAS.

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim pula meramalkan hanya empat orang yang berkemungkinan lompat parti. (nama dirahsiakan).

ADUN Batu Caves, Amirudin Shaari dan ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafei, adalah antara yang tersenarai dalam “golongan berisiko”. Amirudin Shaari tidak terkejut dengan khabar angin bahawa dirinya disebut bakal melompat parti kerana dirinya dilihat pernah rapat dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd.Ezam Mohd.Nor. Namun demikian, beliau secara tegas menafikannya. Amirudin Shaari pernah menjadi AJK ketika Ezam menerajui AMK, dan Mat Suhaimi Shafei pula adalah ahli ketika Ezam menjawat Ketua Bahagian Shah Alam. 

Badrul Hisham Abdullah yang “gagal dihubungi” juga disenaraikan sebagai “golongan berisiko tinggi”. Kerajaan PR Selangor dan PKR telah menuntut beliau untuk memberi perjelasan dalam minggu ini.

Pengalaman dua orang ADUN PKR di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu menghilangkan diri sebelum muncul di depan kamera dalam sidang media bersama Najib, masih segar dalam ingatan. Ia harus dijadikan sebagai pengajaran untuk PR.

Agak sukar untuk UMNO menjatuhkan kerajaan PR melalui lompat parti. Justeru itu, UMNO kini cenderung untuk menggunakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Seperti yang pernah berlaku di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu dituduh rasuah terlebih dahulu, tetap kemudiannya berakhir dengan keduanya kembali menyokong UMNO. Dan lenyaplah tuduhan itu.

Maka, apa yang berlaku ke atas Ronnie Liew dewasa ini hanya mengundang seribu satu persoalan.

Advertisements

Categories

%d bloggers like this: