Posted by: pastibestari | 09/05/2009

DUN Perak: Senyum dan Tangis

Tatkala meneliti kenyataan Perdana Menteri, bahawa kononnya insiden di Perak berlaku lantaran Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang dan memburukkan imej negara, sekonyong-konyong saya teringatkan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee “Antara Senyum dan Tangis”.

Rakyat terus terkesima, apakah kenyataan itu satu lelucon baru ataupun satu lagi detik hitam ke atas demokrasi yang mahu ditalqinkan di bawah kepimpinan Umno-BN.

Lucu benar dibuatnya dek kerana satu dunia dapat menyaksikan bagaimana rakus dan terdesaknya kerajaan kudeta Umno-BN di Perak merampas kuasa sehingga tergamak memanipulasi seluruh instrumen kerajaan khususnya polis yang bertindak mengheret Speaker DUN, V Sivakumar keluar Dewan secara kasar dan agresif.

Pakatan Rakyat kekal komited menegaskan bahawa Sivakumar akan terus berkhidmat sebagai Speaker DUN Negeri Perak yang sah dari konteks undang-undang.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana persidangan dewan legislatif di dunia ini yang menyaksikan perlakuan sebegitu rupa dikenakan ke atas seorang Speaker Dewan mahupun mana-mana Ahli Yang Berhormat. Kita wajar berasa sedih dan sugul atas sindrom penafian yang semakin parah menjangkiti Umno-BN kini. Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri dilacur rakus oleh mereka, walhasil Pakatan Rakyat juga yang terus dipersalahkan!

Maka benarlah, ia antara senyum atau tangis. Senyum memikirkan kedangkalan mereka yang tiada kesudahan, tangis tatkala memikirkan nasib negara yang berada di persimpangan.

Semoga dikuatkan iltizam kita oleh Yang Maha Esa agar demokrasi tidak terus ditalqinkan tanpa nesan oleh Umno-BN di bumi tercinta ini.

ANWAR IBRAHIM

Advertisements

Categories

%d bloggers like this: